Langkah-Langkah untuk Menyuburkan Budaya Tegur-Menegur, Kunjung-Mengunjungi dan Hormat-Menghormati dalam Kalangan Masyarakat
“Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”. Itulah slogan yang sangat masyhur dalam kalangan masyarakat bagi membentuk semangat perpaduan. Dulu, kini dan selamanya perpaduan amat signifikan terhadap semua umat manusia. Namun, kesedaran tentang hal demikian semakin lama semakin sirna daripada pandangan masyarakat akibat sikap individualistik yang semakin beraja di mata, bersultan di hati. Masyarakat moden pada hari ini yang rata-ratanya bekerjaya sering mengambil mudah dan memandang sebelah mata sahaja hal-hal berkaitan dengan kemasyarakatan. Amalan tradisi yang persis aur dengan tebing dan menjadi pegangan nenek moyang kita seperti budaya tegur-menegur, kunjung-mengunjungi, dan menghormati dalam kalangan masyarakat kian diabaikan seiring waktu berputar. Oleh hal yang demikian, kesedaran ini harus diterapkan dan disuburkan semula dalam kelompok masyarakat madani. Pelbagai prakarsa yang efektif dapat diimplementasikan antara satu sama lain bagi menghidupkan kembali budaya murni tersebut.
Mana-mana pihak berkuasa yang terlibat dalam menyuburkan amalan murni ini seperti jawatankuasa kampung dan rukun tetangga harus memainkan peranan dengan cakna dan peka terhadap perkara ini. Pelbagai aktiviti umum yang melibatkan masyarakat harus dilaksanakan dengan terancang dan konsisten seperti aktiviti kemasyarakatan. Aktiviti yang demikian dapat memberi kemaslahatan yang besar terhadap kehidupan bermasyarakat. Antara contohnya seperti aktiviti bergotong-royong dan kenduri-kendara mampu mengeratkan hubungan silaturahim di samping merancakkan semangat perpaduan antara jiran yang bervariasi etnik. Perkara ini dapat dibuktikan apabila masyarakat setempat bersatu hati dan saling membantu antara satu sama lain ketika melaksanakan aktiviti yang telah dirancang oleh pihak terbabit sekaligus membentuk keakraban antara jiran tidak kira sama ada secara langsung atau memerlukan sedikit masa. Walau bagaimanapun, aktiviti kemasyarakatan ini wajar dilakukan secara konsisten serta dijadualkan agar momentummereka dalam melaksanakan amalan murni ini terus kekal subur dan sebati dalam jiwa masing-masing. Jelaslah bahawa aktiviti kemasyarakatan merupakan wadahpenting yang pragmatik kerana mampu mewujudkan satu kelompok masyarakat yang bersatu padu dan hidup berkasih sayang.
Selain itu, masyarakat juga perlulah sentiasa menerapkan nilai murni di dalam diri masing-masing misalnya sikap suka membantu orang lain. Hal yang demikian kerana nilai murni tersebut mampu membina ukhuwahyang erat sesama manusia. Sudah menjadi lumrah, jiran merupakan insan yang paling rapat ibarat saudara sendiri selepas keluarga. Mereka menjadi tempat bergantung apabila seseorang individu berhadapan dengan pelbagai kemelut sama ada besar atau kecil yang memerlukan bantuan dan sokongan. Hal ini terbukti apabila jiran kita menghadapi masalah atau berada dalam kesusahan dan sebagai jiran yang bertanggungjawab serta berguna kepada masyarakat sekeliling, kita seharusnya memberikan khidmat dan berjasa kepada orang lain tidak kira bantuan yang dihulurkan dari segi wang atau perkhidmatan tanpa mengira status mereka. Peribahasa ada menyebut, “harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama” yang bertepatan dengan khidmat bakti seseorang yang tetap dikenang walaupun mereka telah meninggal dunia. Oleh itu, apabila kita sering membantu jiran sekeliling atau sesiapa sahaja, sekaligus kita telah mentaati adab terhadap masyarakat iaitu saling berkunjung dan menghormati antara satu sama lain. Benarlah bahawa sikap suka menolong orang lain dapat merealisasikan impian setiap insan bagi mewujudkan kehidupan bermasyarakat yang lebih baik dan seutuh Tembok Besar China.
Ibu bapa sering dilambangkan sebagai suri teladan bagi anak-anak dalam proses kematangan mereka berfikir. Hal ini demikian kerana sikap dan adab ibu bapa menjadi ikutan anak-anak dalam kehidupan. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa peranan ibu bapa dalam membentuk akhlak dan jati diri anak-anak sangat besar. Anak-anak pada era modenisasi ini sering dihidangkan dengan pelbagai lambakan teknologi seperti gajet dan internet sehingga mereka alpa dengan adab-adab dan nilai murni yang menjadi amalan masyarakat dahulu kala. Fenomena ini menjadi satu cabaran hebat bagi ibu bapa. Namun, mana mungkin kayu yang bengkok dapat menghasilkan bayang-bayang yang lurus. Oleh itu, sebelum nasi menjadi bubur, ibu bapa perlu mempersiapkan diri dari segi rohani dan jasmani untuk memainkan peranan mereka dalam memupuk sikap hormat-menghormati dalam diri anak-anak sejak mereka kecil bak kata peribahasa, “melentur buluh biar dari rebungnya.” Ibu bapa perlu menerangkan nilai-nilai murni sekaligus mempraktikkannya agar dapat sebati dalam diri anak-anak. Tamsilnya, ibu bapa harus sering membawa anak-anak mengunjungi saudara-mara dan jiran tetangga ketika ada waktu senggang dan menunjukkan adab dalam berinteraksi dengan orang yang lebih tua. Hal ini walaupun kecil namun memberi impak yang sangat mendalam dalam proses interaksi sosial anak-anak. Izharnya, peranan ibu bapa dalam mencorak peribadi anak-anak dapat memastikan amal tradisi ini terus lestari dan tidak lenyap ditelan zaman.
Dalam pada itu, sebagai masyarakat yang prihatin, kita mestilah mempunyai kesedaran tersendiri untuk menyertai pelbagai program yang diadakan anjuran kerajaan dan agensi bukan kerajaan. Slogan “Budi Bahasa Amalan Kita” yang diwara-warakan seharusnya disambut meriah oleh anggota masyarakat dalam merealisasikan aspirasi kerajaan untuk melahirkan masyarakat yang penyayang dan berbudi bahasa. Kerajaan mencari pelbagai alternatif yang pragmatik kerana proses asimilasi masyarakat bukanlah sesuatu yang mudah untuk diaplikasikan. Kerajaan dengan bantuan agensi-agensi bukan kerajaan telah menganjurkan pelbagai program seperti ceramah, pameran dan kursus interim agar dapat meningkatkan kesedaran dalam masyarakat tentang peri pentingnya amalan murni bagi memelihara kesejahteraan sejagat. Oleh itu, sebagai anak watan yang mempunyai kesedaran, kita perlulah memberi sepenuh komitmen terhadap program-program tersebut kerana hal ini dapat membina semangat kekitaan sesama masyarakat di samping dapat berkongsi ilmu antara satu sama lain. Sementalahan, ilmu yang dikongsi itu mampu mewujudkan marhaen yang mempunyai sikap hormat-menghormati, bertegur-sapa, dan bertoleransi. Masyarakat seyogianyamenyahut seruan kerajaan agar lebih progresif dan bersatu-padu dalam membina sebuah negara bangsa yang mempunyai minda dan akhlak kelas pertama.
Masyarakat merupakan satu unit sosial yang merangkumi individu, keluarga, jiran tetangga dan kelompok-kelompok kecil yang hidup bersama dalam sesuatu tempat manakala manakala masyarakat yang prihatin ialah masyarakat yang saling membantu dan bekerjasama dalam segala hal untuk menjamin kesenangan hidup bermasyarakat. Jaringan erat antara anggota masyarakat hanya akan terbentuk melalui hubungan secara bersemuka. Kekerapan amalan bersemuka ini akan menghasilkan kesepaduan pola hubungan sosial dan membentuk kehidupan masyarakat yang lebih harmonis. Tidak mustahil perkara ini dapat direalisasikan sekiranya setiap anggota masyarakat mengamalkan sikap bertanya khabar, menziarahi dan membantu jiran yang ditimpa musibah atau berkumpul ketika menyambut pelbagai hari perayaan. Hal ini dapat memeriahkan lagi suasana kehidupan berjiran ini. Bukan itu sahaja, apabila setiap anggota masyarakat mengamalkan nilai-nilai murni tersebut, mereka dapat mengenali jiran tetangga dengan lebih rapat lagi serta dapat bertukar-tukar idea dalam menyelesaikan setiap permasalahan yang timbul seperti aur dengan tebing yang saling menyokong antara satu dengan yang lain dalam membentuk sebuah ikatan sosial yang utuh. Oleh yang demikian, sikap betolak-ansur turut dapat diaplikasikan dalam hidup bersama-sama masyarakat sekeliling kita. Oleh itu, tiada benang basah yang perlu ditegakkan dalam membicarakan soal kepentingan hidup berjiran. Jadi, amat wajarlah kita mengimplimentasikanbudaya toleransi bagi membina kelangsungan hidup masyarakat yang saling bermuafakat.
Intihanya, setiap individu dalam kelompok masyarakat tidak seharusnya mempunyai stigma negatif terhadap kehidupan bermasyarakat sebaliknya mestilah mengorak langkah dan bersatu hati ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni ke arah membina masyarakat yang sejahtera dan hidup berkasih sayang. Melalui prakarsa yang pragmatik ini juga, semangat perpaduan yang terjalin mampu mengubah corak hidup kita bersama-sama jiran atau masyarakat serta melahirkan sebuah negara dan bangsa yang berkualiti sejajar dengan visi kudsi negara ke arah mencapai Wawasan 2020. Tegasnya, masyarakat yang harmonis amat penting agar kelestarian budaya dan amalan nenek moyang terus dapat dikekalkan dan tidak lenyap ditelan arus zaman. Peribahasa ada mengatakan, “bulat air kerana pembentung, bulat masyarakat kerana muafakat.
.