Keperluan Warga Tua
Di Malaysia, warga tua sering dibiarkan dan ditempatkan di rumah orang-orang tua. Definisi warga tua ialah orang yang berusia 60 tahun ke atas. Mereka ini sering dibiarkan sendirian oleh anak-anak walaupun terang lagi bersuluh bahawa tanggungjawab untuk menjaga ibu bapa ialah tanggungjawab seorang anak. Mereka yang mempunyai kerjaya sering menghantar ibu mereka ke rumah kebajikan untuk melepaskan diri mereka daripada tanggungjawab. Adakah tindakan insan yang berjaya ini wajar? Mereka sepatutnya lebih peka terhadap keperluan ibu bapa mereka yang telah lanjut usia berbanding mengejar harta dunia yang tidak akan kekal lama. Oleh itu, terdapat pelbagai keperluan yang diperlukan oleh warga tua.
Perhatian dan kasih sayang daripada anak-anak merupakan salah satu keperluan warga tua. Hal ini demikian kerana, kebanyakan warga tua hidup bersendirian selepas salah satu pasangan meninggal. Mereka ini bersifat sensitif dan mudah terasa apabila di pinggirkan dan dibiarkan oleh anak-anak tanpa bertanya khabar .Dengan kehadiran anak-anak dan cucu, kekosongan dalam hidup warga tua itu dapat diisi. Mereka tidak menginginkan harta atau apa-apa kerana mereka hanya menginginkan perhatian dan kasih sayang daripada anak-anak dan cucu. Anak-anak yang menghantar ibu bapa mereka ke rumah orang-orang tua atas alasan sibuk bekerja dan tiada masa untuk diluangkan bersama adalah anak-anak yang tidak mengenang jasa. Walaupun, di rumah orang-orang tua mereka terjaga dan terdapat kemudahan yang lengkap , namun jauh di sudut hati mereka inginkan layanan dan kasih sayang daripada anak-anak sendiri. Oleh itu, perhatian dan kasih sayang merupakan keperluan utama warga tua.
Seterusnya, mereka memerlukan tempat tinggal yang selesa untuk didiami. Hal ini demikian kerana rumah yang sudah usang seperti dinding berlubang, atap bocor, lantai berlubang dan sebagainya mengundang pelbagai jenis binatang atau serangga berbisa. Keadaan rumah seperti ini tidak sepatutnya didiami oleh warga tua kerana boleh mengancam nyawa mereka. Sebagai warga komuniti yang perihatin, kita boleh membuat kerja amal untuk membersihkan rumah warga tua dengan bantuan agensi kerajaan mahupun bukan kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat. Bantuan yang di berikan dapat meringankan beban warga tua seperti, makanan, tilam, kerusi roda bagi yang tidak berkemampuan untuk berjalan dan sebagainya untuk meneruskan kelansungan hidup. Dengan itu, keselesaan warga tua amat penting untuk menjamin kehidup yang lebih bermakna bagi mereka.
Seterusya, mereka juga memerlukan teman berkomunikasi untuk meluahkan perasaan. Hal ini demikian kerana, kebanyakan warga tua tinggal bersendirian dan tiada teman untuk berbicara dan berkongsi rasa. Mereka juga seperti insan muda yang inginkan teman untuk berbual dan bercerita. mereka kadang kadang ingin meluahkan kekecewaan mereka terhadap anak-anak mereka kerana alpa dengan tanggungjawab untuk menjaga ibu bapa ketika tua. Mereka tiada tempat untuk mengadu jika sakit, tiada suara untuk menenangkan mereka ketika menghadapi musibah dan tiada tangan untuk membantu mereka ketika susah. Mungkin mereka hanya mampu menangisi nasib mereka di dalam hati. Anak anak sewajarnya meluangkan masa bersama ibu bapa walaupun sekejap untuk bertanya khabar atau mendengar luahan hati daripada ibu bapa mereka. Jika mereka sabar dan sentiasa mendengar luahan dan rintihan kita sejak kecil lagi, mengapa kita tidak mampu untuk mendengar luahan serta rintihan ibu bapa kita apabila mereka sudah tua? Jadi , anak anak boleh berkomunikasi dengan ibu bapanya supaya ibu bapa tersebut dapat meluahkan perasaan mereka.
Tuntasnya, semua pihak boleh membantu untuk menyedikan keperluan kepada warga tua. Namun, setiap anak wajib mengutamakan keperluan ibu bapa semasa tua jika mereka masih hidup kerana mereka amat memerlukannya. Warga tua sebenarnya tidak inginkan harta kekayaan mereka hanya kasih sayang dan perhatian daripada anak anak. Kadang kala sikap mereka ibarat bayi kecil yang baru dilahirkan. Inginkan dirinya disayangi, dibelai dan ditemani. Sikap mereka yang mudah kecil hati akan terubat dengan keikhlasan kita menjaganya. Jadi, kita harus menghargai mereka sementara mereka masih ada.jangan tunggu hingga mereka tiada baru hendak tercari-cari.
.