Sebab-Sebab Perlunya Mematuhi Peraturan Sekolah
Setiap pelajar diwajibkan mematuhi undang- undang dan peraturan yang terdapat di sekolah. Nyatakan pendapat anda tentang sebab- sebab perlunya undang- undang dan peraturan sekolah dipatuhi oleh pelajar.
Pada era globalisasi ini, semakin ramai pelajar yang tidak mematuhi peraturan dan undang- undang yang diamalkan oleh pihak sekolah. Peraturan dan undang- undang sangat penting kepada semua pelajar. Kegagalan mematuhi peraturan dan undang- undang membawa banyak kesan negatif terhadap pelajar- pelajar.
Antara sebab perlunya undang- undang dan peraturan sekolah dipatuhi oleh pelajar adalah untuk membentuk generasi yang dapat mengelakkan diri daripada terjebak dalam gejala sosial. Jika tidak ada peraturan dan undang- undang, tentulah pelajar- pelajar akan melibatkan diri mereka dalam gejala sosial seperti merokok, mengambil dadah, mencuri dan sebagainya. Ini akan melahirkan pelajar yang tidak berakhlak. Jelaslah bahawa peraturan dan undang- undang sekolah harus dipatuhi supaya dapat mengelakkan pelajar daripada terjebak dalam gejala sosial dalam peringkat awal lagi, bak kata pepatah, “mencegah lebih baik daripada mengubati”.
Selain itu, peraturan dan undang- undang juga dapat melahirkan seorang pelajar yang berdisiplin. Pelbagai peraturan seperti menepati masa, menyiapkan kerja rumah, dan lain- lain perlu diamalkan. Dengan ini, pelajar dapat belajar bersungguh- sungguh dan menumpukan perhatian dalam pelajaran. Selanjutnya, mereka dapat memperolehi keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Bak kata pepatah, “sambil menyelam minum air” murid dapat memperolehi keputusan yang cemerlang dan disiplin diri mereka dapat ditingkatkan lagi. Hal ini jelas menunjukkan bahawa, peraturan dan undang- undang dapat melahirkan pelajar yang berdisiplin.
Selanjutnya, peraturan dan undang- undang sekolah perlu dipatuhi oleh pelajar untuk mengelakkan sebarang kemalangan. Misalnya, pelajar harus mematuhi peraturan yang terdapat di kantin, kelas, makmal sains, bengkel dan sebagainya. Jika pelajar tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan tentulah pelajar akan ditimpa kemalangan. Ini juga akan mewujudkan masalah- masalah yang tidak diingini. Pendek kata, peraturan dan undang- undang dapat mengelakkan kemalangan.
Di samping itu, peraturan dan undang- undang juga dapat meningkatkan imej sekolah dan mutu pendidikan sekolah. Misalnya, murid- murid berada dalam keadan yang senyap ketika belajar dapat memperolehi keputusan yang cemerlang sekaligus ini akan meningkatkan imej sekolah. Bak kata pepatah, “bagai sambil berdendang, biduk berhilir”. Benarlah bahawa peraturan dan undang- undang dapat meningkatkan imej sekolah dan mutu pendidikan sekolah.
Intihanya, peraturan dan undang- undang sekolah perlu dipatuhi oleh pelajar kerana peraturan ini dapat memberi banyak kebaikan. Pihak berkuasa dan pihak sekolah harus berganding bahu, “bagai aur dengan tebing”, dan melakukan perkara yang sepatutnya untuk memastikan pelajar mematuhi peraturan sekolah.
.