Faedah Kedai Koperasi Sekolah


Faedah Kedai Koperasi Sekolah

Sejak dua tiga dekad belakangan ini memang kita dapat menyaksikan peranan koperasi kepada warga sekolah. Kita seharusnya berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana menggalakkan penubuhan koperasi dalam kawasan sekolah. Koperasi merupakan perniagaan yang dibangunkan oleh pihak sekolah yang terdiri daripada guru dan murid. Oleh itu, faedah yang mewarnai fokus perbincangan akan dihuraikan dengan terperinci demi kebaikan bersama.
Umum mengetahui bahawa koperasi memberi faedah kepada warga sekolah kerana koperasi membantu memudahkan murid memperoleh barangan keperluan sekolah. Malah, harga yang dikenakan lebih murah dan berpatutan daripada harga di pasaran. Secara logiknya, murid-murid hanya membuang masa sahaja jika mereka pergi ke pasar raya semata-mata kerana hendak membeli sebatang pen. Dengan penubuhan koperasi, secara tidak langsung pelajar tidak akan membuang masa dan tidak akan membazir wang.
Selain itu, kita dapat menyaksikan betapa banyak kebaikan dapat diperoleh melalui penubuhan koperasi seperti pengalaman baru untuk murid dalam perniagaan. Secara tidak langsung, penglibatan murid dalam koperasi adalah merupakan proses pembelajaran di luar bilik darjah. Perkara yang dipelajari di dalam kelas seperti subjek prinsip akaun dan matematik dapat dipraktikkan ketika murid-murid mencari pengalaman berniaga daripada penglibatan mereka dalam koperasi. Pengalaman tersebut juga membantu memudahkan murid-murid yang ingin menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan dan menjadikan bidang tersebut sebagai kerjaya pada masa hadapan. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Lanjutan huraian yang telah dinyatakan di atas, penubuhan koperasi juga memberi faedah dengan menambah kewangan sekolah. Keuntungan diperoleh pihak koperasi berpunca daripada pembelian murid-murid, guru-guru dan warga sekolah. Oleh yang demikian, sebahagian keuntungan akan diberi kepada pihak sekolah supaya kewangan sekolah meningkat memandangkan koperasi merupakan kepunyaan sekolah. Di samping itu, kebayakan koperasi juga dengan ikhlas memberi sumbangan untuk sekolah demi kemudahan murid-murid dan guru-guru. Misalnya, kemudahan pendingin hawa di dalam surau Aisyah Umairah Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (1) merupakan sumbangan ikhlas daripada koperasi sekolah tersebut.
Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa penubuhan koperasi membawa semangat muhibah dalam kalangan guru dan murid. Buktinya, penglibatan murid-murid memudahkan guru-guru dalam menguruskan koperasi kerana jika tiada kesepakatan, pengurusan koperasi tidak akan akan berjalan dengan lancar. Di samping itu, murid-murid juga dapat menimba ilmu daripada guru. Sebagai contoh, ilmu mengenai selok-belok perniagaan berkoperasi. Hubungan silaturrahim antara guru dan murid juga terjalin dengan baiknya. Kerjasama mereka dalam pengurusan koperasi diibaratkan seperti aur dengan tebing.
Intihanya, penubuhan koperasi oleh pihak sekolah yang telah lama berkembang di Malaysia seperti cendawan tumbuh selepas hujan memberi banyak faedah kepada warga sekolah termasuk guru dan murid. Dengan demikian, semua warga sekolah perlulah bertanggungjawab untuk memastikan bahawa kebaikan yang diperoleh akan berterusan serta menambah baik tahap koperasi kepada yang lebih tinggi. Sekiranya semua pihak bekerjasama, nescaya impak positif penubuhan koperasi akan berkekalan dalam jangka masa yang lama. Jelaslah, peranan warga sekolah menaik taraf koperasi adalah sama penting dengan peranan koperasi terhadap warga sekolah.
.