Manfaat Penghayatan Prinsip-Prinsip Rukun Negara
Sejak bangku sekolah lagi kita dididik dengan semangat prinsip Rukun Negara yang menjadi teras perpaduan rakyat pelbagai bangsa, dan agama di negara ini. Rukun Negara yang yang diperkenalkan secara rasmi pada 31 Ogos 1970 mengandungi lima prinsip iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang serta Kesopanan dan Kesusilaan adalah antara resepi kejayaan negara dalam menyatupadukan rakyat. Walau bagaimanapun penghayatan Rukun Negara kini semakin terhakis dari jiwa rakyat Malaysia apabila mereka meningkat dewasa. Buktinya, masalah gejala sosial dalam kalangan remaja semakin meningkat sejak belakangan ini. Hal ini disebabkan oleh remaja pada alaf ini tidak menyedari kepentingan atau manfaat menghayati prinsip-prinsip Rukun Negara. Persoalannya, apakah manfaat yang diperoleh melalui penghayatan Rukun Negara?
Salah satu manfaat Rukun Negara dihayati ialah amalan budi bahasa dapat disemarakkan seperti yang tercatat dalam prinsip yang kelima iaitu ‘Kesopanan dan Kesusilaan’. Setiap kaum di negara ini percaya bahawa bersopan santun dan kesusilaan dapat dilihat pada tingkah laku dan tutur kata seseorang. Bahasa yang lembut dan bersopan santun serta tingkah laku yang baik akan menjamin hubungan yang harmoni dalam masyarakat yang berbilang kaum di negara ini. Prinsip ini jika dipraktikkan akan membantu mewujudkan sebuah masyarakat yang baik, berbudi bahasa, bersopan santun dan bersusila serta dapat mewujudkan masyarakat Malaysia yang harmoni dan bersatu padu ibarat telur sesangkak, pecah sebiji pecah semua. Tegasnya, penghayatan Rukun Negara dapat menyemarakkan amalan berbudi bahasa dalam masyarakat kita hari ini selaras dengan kempen kerajaan ‘Budi Bahasa Budaya Kita’.
Selain itu, penghayatan Rukun Negara dapat melahirkan masyarakat yang mematuhi undang-undang. Setiap negara memerlukan undang-undang untuk mengawal dan mewujudkan satu masyarakat yang aman, stabil dan makmur. Kewujudan undang-undang akan menjamin kehidupan anggota masyarakat dapat bergerak lancar dan teratur tanpa sebarang kekacauan, di mana semua anggota masyarakat akan berasa selamat. Sejarah Tamadun China membuktikan bahawa masyarakat yang sempurna hanya dapat diwujudkan melalui undang-undang. Individu yang patuh pada undang-undang tidak akan melanggar undang-undang yang telah ditetapkan untuk kebaikan dalam semua perkara seperti melanggar peraturan jalan raya dan merampas hak orang lain. Kedaulatan undang-undang perlu dipertahankan agar masyarakat dapat hidup dalam keadaan aman dan harrnoni. Kesedaran ini perlu diwujudkan dan dikekalkan dalam pemikiran rakyat sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Izharlah bahawa berpegang pada prinsip Rukun Negara yang keempat iaitu ‘Kedaulatan Undang-undang’ dapat melahirkan masyarakat yang mematuhi undang-undang yang ditetapkan oleh negara.
Satu lagi manfaat yang tidak dapat dipertikaikan ialah semangat patriotisme dalam kalangan rakyat dapat ditingkatkan. Bagi membentuk sebuah negara yang berdaulat dan bersepadu selepas berlakunya peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969, Malaysia melalui kebijaksanaan dan kerjasama para pemimpinnya telah melakarkan suatu garis panduan, iaitu Rukun Negara. Menurut Profesor Syed Huseein al-Attas, "Patriotisme ini adalah tiada jaminan yang paling meyakinkan demi mempertahankan nasib bangsa kecuali memiliki rasa kasih sayang yang tinggi terhadap negara." Oleh itu, Rukun Negara merupakan salah satu elemen yang vital dalam menunjukkan perasaan cinta akan negara. Rukun Negara juga merupakan tonggak perpaduan rakyat. Sebagai negara yang berpaksikan ideologi demokrasi, hak dan kebebasan rakyat hendaklah dihormati. Rakyat perlu sensitif terhadap kepentingan dan nilai perasaan orang lain, seperti kata peribahasa Melayu, hukum orang memiat daging, sakit di orang sakitlah di awak. Tamsilnya, setiap rakyat perlu hormat dan taat kepada raja dan negara seperti tertera dalam rukun negara. Dengan ini, sebuah negara yang berdaulat dan merdeka dapat diwujudkan. Oleh itu, jelaslah bahawa prinsip rukun negara yang diikrarkan dapat melahirkan warganegara yang berpatriotik di nusa tercinta ini.
Sebagai intihanya, sememangnya terdapat pelbagai kemaslahatan rakyat Malaysia untuk menghayati Rukun Negara. Prinsip-prinsip Rukun Negara merupakan kunci kepada masyarakat majmuk negara ini untuk memelihara serta mengekalkan keharmonian dan perpaduan kaum demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. Oleh itu, semua pihak terutamanya ibu bapa, media massa, pihak sekolah dan pihak kerajaan harus berganding bahu bagai aur dengan tebing dan melaksanakan obligasi masing-masing demi memastikan generasi muda kini faham dan mengamalkan kelima-lima prinsip Rukun Negara. Jika tindakan seia sekata, sehati sejiwa ini berjaya dilaksanakan, tidak mustahil negara kita dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju. Semoga dengan pencapaian hasrat ini, negara kita yang dipayungi dengan keharmonian dan kesejahteraan mampu merealisasikan Wawasan 2020 dan sekali gus menjadi terkenal di seantero dunia.