Keruntuhan Akhlak Remaja Berpunca Daripada Keruntuhan Institusi Keluarga
Menuju tahun 2020, masalah keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja sangat membimbangkan dan seperti tiada penghujungnya. Jika kita lihat senario pada hari ini, ramai dalam kalangan remaja kita terlibat dengan gejala sosial seperti meragut, mencuri dan sebagainya. Namun demikian apakah puncanya? Hal ini disebabkan oleh kegagalan institusi kekeluargaan. Institusi kekeluargaan yang terdiri daripada ibu bapa dan anak-anak sepatutnya bekerjasama dalam mempertahankan kebahagiaan institusi kekeluargaan masing-masing. Ibu bapa seharusnya melindungi dan mendidik anak supaya mereka tidak tersalah arah dan terlibat dengan gejala sosial.
Kegagalan institusi kekeluargaan berpunca daripada kekurangan ilmu tentang hidup berkeluarga dan pelbagai ilmu dalam perkahwinan. Masyarakat kini ramai yang berkahwin dalam usia muda kerana terlalu mengikutkan perasaan dan hawa nafsu. Mereka sepatutnya mempersiapkan diri mereka dengan pelbagai ilmu supaya setiap perkara yang terjadi dalam rumah tangga mereka dapat diselesaikan secara baik dan berdiplomasi. Jika mereka tiada ilmu atau kurang ilmu, setiap perselisihan faham yang berlaku akan menyebabkan institusi kekeluargaan runtuh dan akibatnya berlakulah penceraian. Hal ini menyebabkan anak-anak mereka yang akan terkena tempias atas kekhilafan diri mereka sendiri, seperti kata pepatah, kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Anak-anak yang tertekan denagn masalah penceraian tersebut akan mencari kebahagiaan yang mereka inginkan dengan cara tersendiri seperti melarikan diri mengikut teman lelaki atau sesiapa sahaja yang boleh memberikan kebahagiaan kepada mereka. Oleh itu, ibu bapa perlu sedar bahawa kekurangan ilmu dalam institusi kekeluargaan boleh menyebabkan berlakunya keruntuhan akhlak.
Seterusnya, keruntuhan institusi kekeluargaan juga berpunca daripada kesibukan ibu bapa yang asyik mengejar kemewahan duniawi tanpa menghiraukan tentang anak-anak. Hal ini sering terjadi dalam dunia yang sedang membangun ini. Ibu bapa berpendapat bahawa jika mereka menyediakan segala kemahuan anak-anak mereka, mereka sudah memberikan kasih sayang yang secukupnya kepada anak-anak. Namun demikian, anak-anak merupakan insan yang perlu dididik dengan betul supaya mereka jadi insan yang berguna. Jika ibu bapa terlalu mengikut permintaan anak-anak mereka tidak mustahil suatu hari nanti anak-anak ini akan bersikap kurang ajar dan menyalahkan ibu bapa mereka atas kekurangan perhatian dan kasih sayang yang diberikan. Anak –anak ini juga akan menggunakan segala kemewahan yang diperoleh untuk melakukan perkara yang tidak berfaedah dan merosakkan diri seperti menghisap dadah. Anak anak ini ibarat kain putih, dan sebagai ibu bapa mereka bertanggungjawab untuk mencorakkan peribadi diri anak mereka. Ibu bapa harus sedar bahawa tiada yang lebih berharga dari anak anak mereka sendiri. Oleh itu, ibu bapa perlu sedar bahawa kesibukan mereka akan menimbulkan lebih banyak masalah keruntuhan akhlak dalam diri remaja.
Selain itu, keruntuhan institusi kekeluargaan juga berpunca daripada kurangnya didikan dan penghayatan agama. Hal ini demikian kerana, agama merupakan tonggak dalam sesebuah keluarga yang bahagia. Institusi kekeluargaan yang berpegang kepada ajaran agama tidak akan goyah walaupun ditimpa beribu musibah. Namun, bagi institusi kekeluargaan yang tidak berpegang kepada ajaran agama mudah goyah dan runtuh apabila badai melanda. Anak – anak yang kurang penghayatan agama mudah terpengaruh untuk melakukan perkara-perkara negatif seperti merempit dan sebagainya. Anak anak ini perlu dididik menghayati agama sejak kecil lagi seperti kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jika sudah menginjak ke usia remaja, mereka sukar menerima nasihat dan melakukan perubahan. Mereka lebih rela membuat keputusan tanpa memikirkan kesan dan tidak berpaksikan pada ajaran agama. Akibat daripada itu, mereka mungkin akan terjebak dalam perkara yang tidak sihat seperti merokok dan sebagainya. Oleh itu,kekurangan didikan agama boleh mengakibatkan keruntuhan institusi kekeluargaan.
Akhir sekali, keruntuhan institusi kekeluargaan berpunca daripada keadaan sosioekonomi yang sempit. Hal ini demikian kerana, dalam dunia yang kian maju, wang amat penting bagi memudahkan kelansungan hidup. Bagi mereka yang tidak mempunyai pendapatan yang tetap atau pekerja kolar biru , mereka sukar untuk menyediakan segala kemudahan untuk keluarga mereka. Hal ini juga boleh menyebabkan anak –anak mencari jalan pintas untuk mendapatkan segala keinginan mereka dengan mencuri, meragut dan sebagainya. Pada usia remaja, mereka sering berasa iri hati apabila melihat rakan-rakan yang mampu untuk mendapatkan apa yang mereka mahu seperti telefon bimbit, komputer riba dan sebagainya. Namun demikian, seorang anak yang prihatin tidak akan membebankan ibu bapanya dengan meminta lebih daripada apa yang mampu diberikan kepada mereka. Oleh itu, ibu bapa perlu menyimpan untuk kegunaan pada masa kecemasan atau untuk menyediakan kemudahan kepada anak anak. Mereka perlu sedar bahawa keadaan sosioekonomi yang sempit boleh menyebabkan anak anak remaja bertindak diluar kawalan untuk mendapatkan apa yang mereka mahu.
Tuntasnya, untuk mengelakkan berlakunya kegagalan institusi keluarga yang boleh membawa kepada keruntuhan akhlak remaja, ibu bapa seharusnya melengkapkan dan koreksi diri. Hal ini demikian kerana, segala kelemahan dalam mendidik dan mendisiplinkan anak anak terutamanya remaja akan menyebabkan mereka menyimpang terlalu jauh dan terjebak dengan masalah sosial yang lebih berat. Pihak ibu bapa perlu sedar dan tahu bahawa kegagalan mereka dalam menguruskan institusi keluarga akan terkesan dalam diri anak-anak mereka. Anak-anak remaja merupakan aset negara dan mereka perlu didisiplinkan supaya menjadi orang yang berguna. Mereka ialah insan yang akan membawa negara kita ke persada antarabangsa yang terkenal dengan kebudayaan dan budi pekerti yang tinggi dan bukannya negara yang tidak berbudi pekerti. Maruah negara kita pada masa hadapan berada di tangan anak anak remaja kini. Jadi, mereka perlu bangkit daripada dunia angan-angan untuk menempuh dunia realiti.
.